Images
  • Bank Islam
    Gambar hiasan. (AFP PHOTO / Saeed KHAN)

India tidak benarkan perbankan Islam

NEW DELHI: India memutuskan untuk tidak membenarkan perbankan Islam di negara itu, memandangkan rangkaian bank sedia ada mencukupi untuk memenuhi keperluan kewangan setiap orang.

Sejak tahun-tahun kebelakangan ini wujud spekulasi bahawa pemerintah India akan membenarkan beberapa bentuk perbankan tanpa faedah demi kewangan inklusif untuk mereka yang menolak bank konvensional disebabkan sistem berasaskan faedah.

Menteri Hal Ehwal Minoriti Persekutuan, Mukhtar Abbas Naqvi berkata, terdapat jenis kepemerintahan yang berbeza dan jadual bank yang berlainan. Malah sistem perbankan sedia ada adalah kepada semua. Justeru, pemerintah tidak memikirkan untuk memperkenalkan konsep perbankan Islam.

“Di India, pemerintah tidak akan membenarkan perbankan Islam kerana India merupakan sebuah negara sekular dan demokratik,” katanya kepada media tempatan.

Pada 2015, jawatankuasa bank pusat mencadangkan supaya perkhidmatan tanpa faedah dibuka secara khusus di bank-bank untuk menawarkan perkhidmatan terhad sebelum memperkenalkan perbankan yang mematuhi syariah secara berperingkat.

Menurut pengamal perbankan Islam, kewangan Islam, yang berlandaskan larangan riba, akan menarik 190 juta penduduk Islam di India dan masyarakat kecil yang mahukan amalan perbankan lebih beretika.

Setiausaha Agung Pusat Kewangan Islam India, Abdur Raqeeb, pelobi perbankan Islam berkata, kenyataan Mukhtar Abbas itu adalah sesuatu yang mengecewakan.

“Ini merupakan pendirian pemerintah yang amat dikesali. Ia mungkin disebabkan keadaan politik yang berlanjutan dalam negara,” katanya apabila mengulas mengenai sentimen masyarakat yang meningkat baru-baru ini.

Abdur Raqeeb berkata, perbankan Islam akan menggalakkan penyertaan lebih besar daripada penduduk Islam dan masyarakat lain dalam aktiviti pelaburan.

“Terdapat salah faham bahawa ia hanya untuk orang Islam. Perbankan Islam adalah bersifat inklusif, berasaskan perkongsian risiko antara bank dan pelanggannya, menumpukan kepada ekonomi sebenar dan membuka peluang pekerjaan.

“Kita perlu melihat kepada contoh pemerintah Malaysia yang merekodkan 40 peratus pelanggan perbankan Islam ialah masyarakat Cina,” katanya kepada Bernama.

Terdapat beberapa perbincangan mengenai manfaat potensi kewangan Islam untuk India memperolehi pendanaan prasarana besar menerusi sukuk dan menarik pelaburan dari negara Islam yang kaya.

Bagaimanapun tiada hala tuju jelas dapat ditetapkan berikutan politik pemilihan bersifat memecahbelahkan yang menghalang wacana awam mengenai perkara itu.

Konsep berkenaan dibantah oleh kumpulan haluan kanan Hindu dan anggota politik.

Kewangan dan perbankan tanpa faedah diketengahkan pada 2008 oleh Jawatankuasa Suruhanjaya Suruhanjaya Perancangan diketuai oleh bekas Gabenor Reserve Bank of India (RBI), Raghuram Rajan.

Dua tahun lalu, RBI mencadangkan perkhidmatan tanpa faedah disediakan di bank-bank konvensional namun kemudian memutuskan untuk tidak meneruskannya.

Encik Abdur Raqeeb berkata, kenyataan menteri itu merupakan kesan sementara namun usaha untuk memperkenalkan institusi kewangan Islam di negara ini, dengan jumlah penduduk Islam kedua terbesar dunia perlu diteruskan.

“Kita perlu meneruskan usaha berkaitan perkara ini melalui penekanan manfaatnya dalam menggalakkan keterangkuman kewangan, keusahawanan dan pelaburan untuk pembangunan prasarana seperti yang digambarkan Perdana Menteri, Narendra Modi,” katanya.

- BENRAMA/SM/sm

Komen Anda?

Top