Images
  • hawaii airasia
    AirAsia melancarkan khidmat penerbangan ke ibu kota Hawaii, Honolulu pada 10 Feb. (Gambar: AirAsia/Twitter)

Hawaii destinasi terbaru AirAsia mulai 28 Jun

OSAKA: Hawaii kini menjadi destinasi perkhidmatan terbaru AirAsia X, dengan penerbangan sulungnya akan dilancarkan pada 28 Jun depan.

Sebanyak empat penerbangan mingguan ditawarkan bagi laluan Kuala Lumpur ke Honolulu, Hawaii menerusi Osaka, Jepun.

TAMBANG PROMOSI SERENDAH RM499

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Kamarudin Meranun berkata bersempena pelancaran itu, syarikat penerbangan berkenaan menawarkan tambang promosi serendah RM499 (S$160) (sehala termasuk tambang dan cukai) bagi kelas ekonomi dan kelas premium katil rata serendah RM2,999 (S$960) pada 11-26 Februari, 2017 bagi perjalanan mulai 28 Jun, 2017 sehingga 6 Feb, 2018.

"Ini merupakan destinasi pengubah yang kami sememangnya nantikan. Usaha menghubungkan ASEAN dan Asia Utara dengan Amerika Syarikat menerusi tambang rendah ini membolehkan kami merealisasikan impian mereka yang selama ini mengimpikan percutian merentasi kawasan Pasifik.

"Kami amat berterima kasih kepada semua pihak berkuasa dan kerajaan yang terbabit memberi sokongan.

"Keyakinan mereka itu membolehkan pelancaran laluan penerbangan unik ini menjadi kenyataan. Kami akan terus bekerjasama erat dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan lebih banyak kesalinghubungan orang ramai menerusi laluan antara benua ini," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran laluan itu di Osaka hari ini (10 Feb).

Sidang media itu turut dihadiri oleh CEO AirAsia X Bhd Benyamin Ismail, Wakil Pengarah dan CEO Bersama Kansai Airports Emmanuel Menanteau, Naib Presiden Pelancongan Hawaii di Jepun Mitsue Varley serta Ratu Cantik Hawaii, Allison Chu.

Dalam satu kenyataan, AirAsia X menyatakan penumpang yang melakukan transit selama dua jam di Osaka, tidak memerlukan visa dikeluarkan pihak berkuasa Jepun dan boleh kembali ke tempat duduk masing-masing selepas melepasi prosedur keselamatan.

BOLEH HABISKAN BEBERAPA HARI DI OSAKA DAHULU

Bagi penumpang yang mahukan perancangan perjalanan lebih fleksibel, mereka boleh membuat pilihan pelbagai bandar dan menghabiskan masa beberapa hari di Osaka sebelum meneruskan perjalanan ke Honolulu.

Bagaimanapun, penumpang bukan warganegara Malaysia perlu membuat permohonan
bagi mendapatkan visa Jepun berkenaan.

Selain itu, penumpang juga boleh menggunakan perkhidmatan 'Fly-Thru AirAsia' yang melancarkan perjalanan ke Honolulu dari bandar lain dalam rangkaian penerbangan AirAsia dan AirAsia X yang luas dengan hanya melakukan satu persinggahan tambahan.

AMBIL MASA 14 JAM

Sementara itu, Encik Benyamin berkata perjalanan ke Honolulu dari Kuala Lumpur
menerusi Osaka akan memakan masa selama 14 jam termasuk waktu transit di Osaka.

Jadual penerbangan itu adalah pada Isnin, Rabu, Jumaat serta Sabtu dan berlepas pada 2.00 petang manakala dari Osaka pula pada 11.25 malam.

Menurutnya, AirAsia X juga menyasarkan purata bilangan penumpang bagi penerbangan itu mencecah lebih 80 peratus dengan majoritinya adalah rakyat Jepun dan selebihnya dari Kuala Lumpur serta ASEAN.

"Tumpuan kami adalah pasaran yang kurang dimajukan di Asia, Malaysia dan ASEAN.

"Sudah agak lama (perkhidmatan) penerbangan ke Hawaii dari Asia tidak ditawarkan dan ini merupakan detik bermakna untuk kami dan syarikat penerbangan tambang rendah," katanya.

Encik Benyamin berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai menjadi pilihan kerana Osaka masih kurang dimanfaatkan berbanding pintu masuk lain di Tokyo.

Menurutnya, permintaan bagi penerbangan ke Hawaii juga lebih tinggi dalam kalangan rakyat Jepun dan yakin tawaran harga tambang oleh syarikat penerbangan tambang rendah itu mampu menarik pasaran.

Selain itu, Datuk Kamarudin berkata, pihaknya mengambil masa hampir dua tahun bagi mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat untuk merealisasikan penerbangan ke Hawaii.

Katanya, AirAsia X juga tidak mempunyai sebarang perancangan membabitkan destinasi lain di Amerika Syarikat dalam masa terdekat ini. 

- Bernama/nd

Komen Anda?

Top
>