Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Halalfoodhunt tawar kad ganjaran FRIENDS bagi bantu pasarkan niaga makanan halal

Bagi anda yang bukan sahaja kaki makan tetapi juga kaki diskaun, ini boleh dikatakan kad yang sangat sesuai untuk anda.

Anggaran Waktu Membaca:
Halalfoodhunt tawar kad ganjaran FRIENDS bagi bantu pasarkan niaga makanan halal

Kad FRIENDS oleh Halalfoodhunt ditunjukkan di restoran makanan Mexico, Afterwit. (Gambar: Facebook/Halalfoodhunt)

SINGAPURA: Bagi anda yang bukan sahaja kaki makan tetapi juga kaki diskaun, ini boleh dikatakan kad yang sangat sesuai untuk anda.

Halalfoodhunt, iaitu portal penyenarai tempat makanan halal setempat, kini melancarkan ‘kad ganjaran’ khusus untuk perniagaan makanan halal. Ia menawarkan potongan harga antara 10 hingga 20 peratus serta pelbagai manfaat lain di sejumlah 56 restoran, kafe dan tempat makanan halal di serata Singapura.

Ia dipercayai kad ganjaran ‘halal’ yang pertama seumpamanya ditawarkan di negara ini.

Antara penyedia makanan halal yang menyertainya termasuklah Charcos, Chulop, Jamil Sate Classic, Hyde & Co, Afterwit, Brothers in Fine Food, Agrobazaar Singapore, dan The Ramen Stall.

(Gambar-gambar: Petikan dari Halalfoodhunt.com)

SASAR DAPATKAN 500 KEDAI JELANG HUJUNG TAHUN

BERITAMediacorp diberitahu, Halalfoodhunt merancang untuk meningkatkan bilangan tempat makanan halal yang menyertai inisiatif tersebut kepada 500 pada tahun ini.

Digelar Kad Ganjaran FRIENDS bersama Halalfoodhunt.com, ia dilancarkan pada Ogos tahun lalu dengan disertai 20 tempat makanan halal serta 200 pemegang kad.

Jumlah pemegang kad itu kini sudah bertambah kepada lebih 500 orang, kata Cik Jumaiyah Mahathir, pengarah urusan Halalfoodhunt.

Cik Jumaiyah berkata pihaknya melancarkan kad FRIENDS sebagai salah satu cara untuk menyokong dan membantu memasarkan perniagaan-perniagaan makanan halal yang dikendalikan secara kecil-kecilan di sini. Ini memandangkan kebanyakan penjual dalam rangkaian Halalfoodhunt adalah perniagaan seperti itu.

Menurutnya, perniagaan-perniagaan halal yang ingin disenaraikan dalam laman Halalfoodhunt dikehendaki membayar yuran penyenaraian dan mereka boleh memilih sama ada untuk menawarkan ganjaran menerusi kad FRIENDS.

Afterwit, antara restoran halal yang menawarkan diskaun dengan kad FRIENDS. (Gambar: Facebook/Afterwit)

FAEDAH-FAEDAH KAD FRIENDS: UNTUK PELANGGAN, UNTUK PENIAGA

Kad itu menawarkan empat jenis ganjaran tertakluk kepada syarat-syarat perniagaan masing-masing – diskaun 10 peratus, 15 peratus, 20 peratus atau tawaran beli satu dapat satu (1-for-1 deal), serta manfaat lain seperti jemputan ke acara-acara ekslusif Halalfoodhunt.

Cik Jumaiyah berkata pemilik perniagaan kecil-kecilan biasanya terlalu sibuk dengan operasi perniagaan harian dan tidak ada masa untuk memasarkan restoran atau kafe mereka.

“Perniagaan seperti itu biasanya dikendalikan pasangan suami isteri, atau keluarga, atau cef yang membuka perniagaan sendiri. Mereka perlu layan pelanggan, membersihkan premis dan sebagainya, kemudian mereka juga harus muat naik gambar dan sebagainya di Instagram untuk menarik pelanggan.

“Tapi pemasaran itu lebih daripada setakat mempromosikan perniagaan di media sosial. Perniagaan-perniagaan F&B yang lebih besar biasanya mempunyai pasukan pemasaran mereka sendiri yang bukan sahaja mendampingi para pengguna di media sosial, tetapi individu-individu berpengaruh di media sosial, menjemput media untuk acara-acara ekslusif, menawarkan ganjaran kad kredit dan sebagainya.

“Jadi kami fikir, apa kata kami bantu memasarkan para penjual dalam rangkaian kami ini di bawah satu sistem kad ganjaran. Ia satu peluang baik untuk mereka,” kata Cik Jumaiyah ketika dihubungi BERITAMediacorp.

The Ramen Stall, antara restoran halal yang menawarkan diskaun dengan kad FRIENDS. (Gambar: The Ramen Stall/Facebook)

The Ramen Stall, antara restoran halal yang menawarkan diskaun dengan kad FRIENDS. (Gambar: The Ramen Stall/Facebook)

Beliau berkata selain itu, kad FRIENDS juga ditawarkan kerana selama ini, belum pernah ada kad ganjaran khusus untuk perniagaan-perniagaan makanan halal di sini.

“Bayangkan, jika satu hidangan itu berharga S$8-S$10, dan anda bawa 10 anggota keluarga anda menjamu selera di restoran, bilnya sudah mencecah hampir S$200. Jadi berbaloi untuk anda mendapatkan potongan harga.

“Lagipun, orang ramai memang sukakan diskaun dan ganjaran!” tambah Cik Jumaiyah lagi.

RESTORAN HALAL: BANYAK YANG BUKA, TAPI BANYAK YANG TUTUP

Ditanya sama ada kad FRIENDS dilancarkan kerana pihaknya melihat potensi pasaran makanan halal di sini kian berkembang, Cik Jumaiyah menolak faktor itu.

“Baru-baru ini, ia kelihatan seperti banyak tempat makanan halal sedang dibuka di serata negara. Namun sebenarnya, perniagaan halal kini menarik lebih banyak perhatian disebabkan pengaruh media sosial yang penggunaannya semakin berleluasa.

“Bukan kerana pasaran makanan halal sedang berkembang di sini. Saya sudah kendalikan Halalfoodhunt hampir tiga tahun, dan saya melihat banyak perniagaan makanan halal baru dibuka, tetapi banyak juga yang ditutup. Bahkan, kadar kedua-duanya boleh dikatakan sama.

“Oleh itu, pemasaran itu penting terutamanya bagi perniagaan halal kecil-kecilan – jika mereka tersenarai dalam blog atau laman seperti Halalfoodhunt, dan dipaparkan dalam media, itu satu batu loncatan untuk mereka, mereka mendapat perhatian ramai, dan itu yang mereka perlukan. Ia amat penting untuk perniagaan seperti itu,” kata Cik Jumaiyah.

PEMEGANG KAD SECARA EKSKLUSIF BERPELUANG CUBA MENU BARU

BERITAMediacorp diberitahu, setiap minggu, Halalfoodhunt mengemaskini ganjaran dan diskaun-diskaun yang ditawarkan perniagaan-perniagaan makanan halal yang menyertai kad FRIENDS di lamannya.

Selain itu, pemegang kad FRIENDS akan menikmati diskaun bagi acara-acara Halalfoodhunt, serta berpeluang dijemput ke acara-acara ekslusif anjuran para penjual dalam rangkaiannya, contohnya jika sesebuah restoran menawarkan menu baru dan menjemput Halalfoodhunt untuk mencubanya.

Namun, kata Cik Jumaiyah, acara-acara sedemikian tidak akan diumumkan secara terbuka, tetapi hanya para pemegang kad FRIENDS akan dimaklumkan tentangnya menerusi emel.

Kad ganjaran FRIENDS oleh Halalfoodhunt boleh didapatkan menerusi lamannya atau di lokasi-lokasi tertentu. Bayaran S$18 dikenakan setiap tahun. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan