Images
  • CBD
    CBD. (Gambar: TODAY)

Firma S'pura paling kurang optimis di Asia

SINGAPURA: Sikap optimistik perniagaan di Singapura berada di paras paling rendah di rantau ini meskipun keseluruhan sentimen perniagaan di Asia meningkat tiga tahun berturut-turut.

Demikian menurut dapatan tinjauan Thomson Reuters dan INSEAD yang dikeluarkan semalam (21 Jun).

Singapura mencatat skor sub-indeks terendah sebanyak 62 berbanding keseluruhan skor indeks sentimen Asia iaitu 74 - walaupun ia adalah "paras sub-indeks terendah yang paling kukuh" yang pernah dilihat menerusi dapatan tinjauan itu sejak ia dimulakan pada tahun 2009, menurut laporan itu lagi.

Secara keseluruhannya keyakinan perniagaan di Asia melonjak ke paras tinggi tiga tahun berturut-turut pada suku kedua tahun ini.

Ini dirangsang oleh beberapa data ekonomi yang memuaskan di rantau ini dan kebimbangan yang berkurangan berhubung pertumbuhan ekonomi China, menurut laporan itu.

Indeks Sentimen Perniagaan Asia Thomson Reuters/INSEAD, yang mewakili unjuran enam bulan 101 firma, naik kepada 74 dalam bulan April hingga Jun berbanding 70 tiga bulan sebelumnya. Bacaan indeks 50 menunjukkan sentimen positif.

"Ekonomi dunia sudah semakin kukuh," profesor ekonomi yang berpangkalan di Singapura, Antonio Fatas, di sekolah perniagaan global INSEAD memberitahu Reuters.

"Amerika Syarikat sedang mencecah paras GDP dan kadar pengambilan pekerja yang baik, ekonomi Eropah pula kian pulih dan Asia menjangkakan risiko yang berkurangan pada masa akan datang. China pula semakin stabil setelah berdepan keadaan tidak menentu disebabkan aliran keluar modal selama beberapa tahun lalu dan juga berisiko berdepan krisis hutang."

China dijangka menepati sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 6.5 peratus tahun ini tanpa berdepan terlalu banyak cabaran, didorong oleh peningkatan eksport dan pertumbuhan stabil dalam hasil pengeluaran kilang serta jualan runcit.

Pemerintah juga berusaha mengurangkan hutang.

Menunjukkan sentimen yang lebih positif, China yang menjadi tempat bergantung bagi kebanyakan negara Asia dalam bidang perdagangan, meraih skor 75 dalam sub-indeks sentimen perniagaan berbanding 72 tiga bulan sebelumnya.

Di Jepun, sentimen mencecah paras tertinggi dengan sub-indeks 83 berbanding 61 pada suku sebelumnya dan purata 58 dalam tinjauan yang sudah dijalankan selama lapan tahun.

Pada bulan April lalu, bank pusat negara itu menawarkan penilaian ekonomi paling optimistik dalam tempoh sembilan tahun, sambil menyatakan ia sedang berusaha ke arah menebarkan sayap perniagaan.

Dalam pada itu, keyakinan pelanggan dan pertumbuhan eksport yang melebihi anggaran awal membantu sentimen sub-indeks Indonesia naik 8 mata kepada 83, paling tinggi dalam tempoh lebih setahun.

Sentimen paling baik adalah di Korea Selatan dengan kenaikan 50 mata dalam sub-indeks kepada 75.

Sentimen itu dicatat setelah presiden baru negara itu berikrar untuk menyemak semula keputusan untuk mengerahkan sistem anti-peluru berpandu Amerika Syarikat yang mencetuskan kemarahan China sehingga barangan Korea diboikot.

Sentimen juga lebih baik di India dan Thailand, namun melemah di Australia, Taiwan dan Filipina.

Thomson Reuters dan INSEAD menjalankan tinjauan ke atas syarikat-syarikat dari 2 Jun hingga 16 Jun.

- TODAY/nk

Komen Anda?

Top