Images
  • Fashionvalet
    Kedai Fashionvalet di Pavillion, Kuala Lumpur. (Gambar: Instagram Fashionvalet)

FashionValet sasar pasaran baru di Thailand tahun ini

SEPANG: Peruncit dalam talian yang berpangkalan di Malaysia, FashionValet, merancang meneroka ke pasaran Thailand tahun ini, kata pengasas bersamanya Vivy Yusof.

"Kami telahpun mempunyai operasi di Indonesia dan kini mengintai peluang (kemungkinan menembusi) pasaran Thailand," katanya kepada pemberita selepas pelancaran pertandingan AirAsia Runway Ready Designer Search 2017, hari ini (8 Feb).

Para peserta dari 10 negara ASEAN akan bersaing merebut peluang dalam pertandingan tersebut dan uji bakat akan diadakan di ibu kota setiap negara ASEAN dari April hingga Jun.

Dua peserta terbaik daripada uji bakat itu akan mewakili negara mereka ke acara kemuncak yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada Ogos.

Pemenang pencarian pereka serantau itu akan membawa pulang hadiah bernilai RM350,000 (S$111,740) yang termasuk slot menyertai KL Fashion Week Ready To Wear 2018.

Hadiah itu juga termasuk RM25,000 (S$7,980) tajaan FashionValet, bagi pengeluaran koleksi kapsul yang akan dijual di FashionValet.com.

"Koleksi pemenang 2016 akan dikeluarkan pada Julai tahun ini di laman web FashionValet," kata Vivy.

Beliau berkata jualan pasaran Malaysia menyumbang 60 peratus kepada hasil syarikat, diikuti Singapura (30 peratus), Brunei (15 peratus) dan selebihnya (5 peratus).

FashionValet juga mengembangkan koleksi di laman webnya, dengan tambahan FV Men dan FV Kids yang akan diperkenalkan sebelum perayaan Aidilfitri tahun ini.  

- Bernama/nd

Komen Anda?

Top