Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

ETF Islam ASEAN pertama dunia bakal disenaraikan di Bursa Malaysia

Dana Dagangan Bursa (ETF) Islam ASEAN pertama dunia bakal disenaraikan di Bursa Malaysia pada 7 Mei ini.

Anggaran Waktu Membaca:
ETF Islam ASEAN pertama dunia bakal disenaraikan di Bursa Malaysia

Latar langit Kuala Lumpur, Malaysia. (Gambar: Ed Jones/AFP)

Diterbitkan : 08 Apr 2015 04:11PM Dikemas Kini : 08 Apr 2015 04:31PM

KUALA LUMPUR: Dana Dagangan Bursa (ETF) Islam ASEAN pertama dunia bakal disenaraikan di Bursa Malaysia pada 7 Mei ini.

Penyedia pengurusan pelaburan, i-VCAP Management Sdn Bhd (i-VCAP), hari ini melancarkan prospektus bagi ETF patuh Syariah itu, yang akan dikenali sebagai
MyETF MSCI SEA Islamic Dividend (MyETF-MSEAD).

Pengerusi i-VCAP, Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata dana itu unik kerana ia
menyediakan peluang kepada pelabur untuk mendapat pendedahan pelaburan kepada
pertumbuhan ekonomi yang berpotensi di rantau Asia Tenggara.

"MyETF-MSEAF menawarkan pempelbagaian segera kepada sekumpulan saham hasil dividen patuh Syariah di lima negara utama di Asia Tenggara yang terdiri dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina," katanya pada pelancaran dana itu hari ini.

Wan Kamaruzaman berkata pelancaran MyETF-MSEAD, yang mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab global bagi produk pelaburan Syariah, juga sejajar dengan usaha negara sebagai pengerusi perkumpulan ASEAN, untuk menggalakkan prospek pertumbuhan dan rangka kerja integrasi kewangan rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mahdzir Othman menjelaskan MyETF-MSEAD adalah dana terbuka dengan saiz dana dilulus 500 juta unit.

Para pelabur boleh melanggan dana itu bermula hari ini sehingga 22 April, pada RM1 seunit dengan saiz langganan minimum 100 unit.

CIMB Investment Bank Bhd, Affin Hwang Investment Bank Bhd dan BIMB Securities Sdn Bhd ialah ejen tawaran saham bagi MyETF-MSEAD manakala Malaysian Issuing House Sdn Bhd ialah firma penerbit bagi dana itu, katanya.

"Dana itu mempunyai fi yang rendah, ketelusan dan mudah tunai menerusi keupayaan dagangan seperti saham.

"Selepas penyenaraian, sekuriti asas dan nilai aset bersih akan didedahkan setiap hari kepada pelabur menerusi Bursa Securities dan laman web MyETF series," katanya.

Encik Mahdzir berkata syarikat-syarikat besar ASEAN seperti Keppel Corporation Ltd, Singapore Telecommunications Ltd, M1 Ltd, Philippines Long Distance Telephone Company, PTT Public Company Ltd, Thai Vegetable Oil Pcl dan Telekom Malaysia Bhd dijangka menjadi antara pelanggan utama.

MyETF-MSEAD ialah dana ketiga i-VCAP dan ketika ini Malaysia memiliki enam ETF sedia ada yang disenaraikan di Bursa Securities.  

Sumber : Bernama/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan