Images
  • ships
    Kapal-kapal kontena di pelabuhan Singapura. (Gambar: ROSLAN RAHMAN/AFP)

Eksport S'pura melonjak 20.9% pada Oktober

SINGAPURA: Eksport domestik bukan minyak (NODX) Singapura melonjak 20.9 peratus pada bulan Oktober berbanding setahun lalu, menurut statistik yang dikeluarkan agensi perdagangan International Enterprise (IE) Singapore hari ini (17 Nov).

Peningkatan ini dirangsang oleh kenaikan eksport elektronik dan bukan elektronik berbanding kemerosotan 1.1 peratus pada bulan September.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari bulan ke bulan, eksport negara mencatat pertumbuhan 12.5 peratus berbanding kejatuhan 11.0 peratus pada bulan sebelumnya. Ini disebabkan oleh pertumbuhan eksport elektronik dan bukan elektronik, menurut IE Singapore.

Penghantaran elektronik naik 4.5 peratus pada bulan Oktober selepas merosot 8.0 peratus pada bulan September. Peningkatan itu sebahagian besarnya didorong oleh litar bersepadu (IC), produk media cakera dan komputer peribadi (PC) yang masing-masing meningkat sebanyak 15.4 peratus, 28.8 peratus dan 13.0 peratus, menurut IE Singapore.

Manakala penghantaran bukan elektronik meningkat 28.5 peratus, menyusuli kenaikan sebanyak 1.9 peratus pada bulan sebelumnya. Sebahagian besar peningkatan itu dipacu oleh emas bukan kewangan, petrokimia dan barangan farmaseutikal, yang masing-masing meningkat sebanyak 591.7 peratus, 22.9 peratus dan 25.1 peratus.

Penghantaran ke 10 pasaran utama Singapura, kecuali Taiwan, Hong Kong dan Indonesia meningkat pada bulan lalu, menurut IE Singapore. Eksport ke China, pasaran eksport terbesar Singapura, meningkat sebanyak 53.3 peratus, sementara eksport ke Kesatuan Eropah (EU) 28 dan Malaysia masing-masing meningkat sebanyak 26.1 peratus dan 22 peratus. 

Eksport semula bukan minyak turun 0.9 peratus dari tahun ke tahun setelah meraih pertumbuhan 0.6 peratus pada bulan September, disebabkan penghantaran eksport semula bukan elektronik yang lebih rendah. Penghantaran eksport semula elektronik meningkat sementara eksport semula bukan elektronik merosot, menurut IE Singapore.

- CNA/SM/sm

Komen Anda?

Top