Images
  • ships
    Kapal-kapal di perairan Singapura. (Gambar: Winnie Goh)

Eksport S'pura melonjak 16.5% pada Mac; pertumbuhan 5 bulan berturut-turut

SINGAPURA: Eksport domestik bukan minyak (NODX) Singapura naik 16.5 peratus pada bulan Mac berbanding setahun lalu, mengukuhkan lagi pertumbuhan yang diraih sejak November tahun lalu, menurut statistik yang dikeluarkan hari ini (17 Apr) oleh agensi perdagangan International Enterprise (IE) Singapore.

Eksport elektronik naik 5.2 peratus, menyusuli pertumbuhan 17.2 peratus pada bulan sebelumnya.

Sebahagian besar peningkatan itu dipacu oleh litar bersepadu (IC) (7.8 peratus), bahagian-bahagian komputer peribadi (PC) (33.9 peratus) dan elektronik pengguna (29.9 peratus), menurut IE Singapore.

Eksport bukan elektronik juga melonjak 20.8 peratus, menyusuli peningkatan 22.7 peratus pada bulan sebelumnya.

Pertumbuhan itu dirangsang oleh petrokimia (42.8 peratus), mesin-mesin khas (70.1 peratus) dan bahagian-bahagian struktur yang diperbuat daripada besi, keluli dan aluminium (4,697.5 peratus).

Penghantaran ke semua 10 pasaran utama Singapura naik pada bulan lalu. Eksport ke China, destinasi eksport terbesar, menlonjak 45.5 peratus berbanding setahun lalu, sementara pengiriman ke Taiwan naik 32.5 peratus dan pengiriman ke Hong Kong tumbuh 17.4 peratus, tambah IE Singapore.

Eksport semula bukan minyak naik 9.4 peratus, selepas mencatat pertumbuhan yang sama pada bulan sebelumnya.

Eksport semula elektronik naik 10.2 peratus, menyusuli pertumbuhan 1.3 peratus pada bulan Februari, menurut IE Singapore.

Pertumbuhan itu didorong oleh IC (13.3 peratus), produk-produk media cakera (96.6 peratus) dan bahagian-bahagian PC (10.4 peratus).

Eksport semula bukan elektronik naik 8.6 peratus, selepas mencatat kenaikan 18.1 peratus pada bulan sebelumnya.

Pertumbuhan itu dirangsang oleh struktur-struktur kapal dan bot (655.8 peratus), produk-produk kecantikan peribadi (34.5 peratus), dan batu permata (75.9 peratus). 

- CNA/ru

Komen Anda?

Top