Images
  • singapore port
    Pelabuhan kontena di Singapura. (Gambar fail: MPA)

Eksport S'pura melonjak 15.2% pada suku pertama

SINGAPURA: Eksport domestik bukan minyak (NODX) Singapura melonjak 15.2 peratus pada suku pertama 2017, didorong oleh penghantaran kedua-kedua produk elektronik dan bukan elektronik, menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh International Enterprise (IE) Singapore pada Khamis (25 Mei).

Ini menyusuli kenaikan 2.7 peratus pada suku sebelumnya, menurut agensi perdagangan tersebut.

Eksport bulan-bulan selanjutnya bagi tahun ini dijangka meningkat, selepas IE Singapore menyemak ramalan pertumbuhannya dari 4 peratus kepada 6 peratus.

Agensi berkenaan bertindak demikian, didorong oleh ramalan pertumbuhan global yang lebih kukuh dan trend eksport bagi sektor tertentu yang menggalakkan, terutama sekali bagi petrokimia dan sektor elektronik, menurut wakil IE Singapore di satu sidang media pada Khamis.

"Ramalan yang meningkat itu juga mengambil kira prestasi yang lebih baik daripada jangkaan bagi suku pertama 2017," dedahnya.

Eksport semula bukan minyak naik sebanyak 6.6 peratus pada suku pertama, selepas susut 1.4 peratus pada tiga bulan terakhir pada tahun 2016.

Perdagangan barangan melonjak sebanyak 16.3 peratus, menyusuli pertumbuhan 4 peratus pada suku sebelumnya, manakala perdagangan khidmat mencatat kenaikan 4.3 peratus, selepas tumbuh 3.4 peratus pada suku terakhir.

Pada Khamis, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) mendedahkan ekonomi Singapura tumbuh lebih pantas daripada 2.7 peratus yang diramalkan tiga bulan pertama tahun ini. Ramalan pertumbuhannya kekal bagi tahun ini, iaitu antara 1 hingga 3 peratus, tetapi mendedahkan pertumbuhan dijangka meningkat lebih 2 peratus.

- CNA/im

Komen Anda?

Top