Images
  • singapore port
    Kapal-kapal di pelabuhan kontena Tanjong Pagar di Singapura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Eksport Februari S'pura melonjak 21.5%, pertumbuhan 4 bulan berturut-turut

SINGAPURA: Eksport domestik bukan minyak (NODX) di Singapura melonjak 21.5 peratus berbanding setahun lalu pada Februari, iaitu peningkatan buat bulan keempat berturut-turut.

Pertumbuhan itu disebabkan peningkatan pada kedua-dua eksport elektronik dan bukan elektronik, menurut perangkaan yang dikeluarkan hari ini (17 Mac) oleh International Enterprise (IE) Singapore.

Eksport elektronik meningkat 17.2 peratus berbanding setahun lalu, menyusuli kenaikan 6.1 peratus pada bulan sebelumnya. Ia sebahagian besarnya disebabkan oleh produk-produk litar bersepadu (IC) (25.8 peratus), produk media cakera (26.9 peratus) dan bahagian-bahagian komputer peribadi (PC) (19.7 peratus), menurut IE Singapore.

Eksport bukan elektronik juga meningkat 23.3 peratus, menyusuli peningkatan 9.8 peratus pada bulan sebelumnya. Ini dipacu oleh petrokimia (45.3 peratus), mesin-mesin khas (111.8 peratus) dan emas bukan wang (104.3 peratus).

Berdasarkan tahun ke tahun, pengiriman kepada kesemua 10 pasaran utama Singapura meningkat bulan lalu. Tiga penyumbang utama kepada peningkatan itu adalah China (65.1 peratus), Kesatuan Eropah (28.7 peratus) dan Taiwan (54 peratus), menurut agensi itu.

Eksport bukan minyak (NORX) naik 10 peratus, selepas pengembangan 1.5 peratus pada bulan sebelumnya, disebabkan peningkatan pada kedua-dua eksport elektronik dan bukan elektronik.

Eksport semula elektronik naik 1.3 peratus, menyusuli pertumbuhan 2.3 peratus pada bulan sebelumnya, menurut IE Singapore.

Peningkatan itu disebabkan bahagian-bahagian PC (17 peratus), perisian komputer yang lain (36.1 peratus) dan kapasitor (66.6 peratus).

NORX bukan elektronik naik 19.4 peratus, selepas peningkatan 0.6 peratus pada bulan sebelumnya.

Peningkatan itu disebabkan oleh emas bukan wang (315.1 peratus), produk kecantikan peribadi (42.5 peratus) dan enjin-enjin dan motor bukan elektrik (36.2 peratus).

- CNA/nd

Komen Anda?

Top