Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ekonomi S'pura diramal tumbuh 2.5% tahun ini

Para ahli ekonomi dari sektor privet meningkatkan ramalan pertumbuhannya untuk ekonomi Singapura bagi tahun 2017.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Jun 2017 01:32PM Dikemas Kini : 14 Jun 2017 09:32PM

SINGAPURA: Para ahli ekonomi dari sektor privet meningkatkan ramalan pertumbuhannya untuk ekonomi Singapura bagi tahun 2017.

Ini menurut tinjauan suku tahunan yang dikeluarkan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Rabu (14 Jun).

Ahli ekonomi yang terlibat dalam tinjauan itu berkata mereka menjangkakan pertumbuhan ekonomi sebanyak 2.5 peratus tahun ini, naik dari ramalan bulan Mac yang menjangkakan pertumbuhan 2.3 peratus.

Ramalan tersebut dinaikkan setelah ekonomi Singapura berkembang sebanyak 2.7 peratus, iaitu lebih pantas dari jangkaan pada suku pertama.

Ini turut mengatasi ramalan awal para analisis sebanyak 2.6 peratus.

Pemerintah sudah meramalkan pertumbuhan antara 1 hingga 3 peratus bagi tahun ini, dengan pertumbuhan yang mungkin melebihi 2 peratus.

Pengilangan dijangka meneruskan kebangkitan dari hujung tahun lalu, dengan para ahli ekonomi yang meramalkan pertumbuhan 5 peratus bagi sektor itu tahun ini - naik dari ramalan 4.5 peratus dalam tinjauan pada bulan Mac.

Industri kewangan dan insurans dijangka mencatat pertumbuhan yang kedua tertinggi sebanyak 1.9 peratus, meskipun ini adalah rendah sedikit berbanding ramalan awal pertumbuhan sebanyak 2 peratus. Ramalan pertumbuhuan juga dikurangkan bagi sektor binaan - dari 0.3 peratus kepada 0.2 peratus - dan juga bagi sektor penginapan dan khidmat makanan - dari 1.3 peratus kepada 1 peratus.

Para ahli ekonomi juga menurunkan ramalan mereka bagi eksport, dengan eksport domestik bukan minyak dijangka tumbuh 5.6 peratus, turun dari 6.1 peratus dalam ramalan sebelum ini.

INFLASI DIJANGKA MENCECAH 0.9%

Inflasi bagi tahun ini dijangka mencecah 0.9 peratus, turun dari 1 peratus dalam tinjauan sebelum ini. Inflasi teras - yang tidak termasuk penginapan dan harga kereta - dijangka mencecah 1.5 peratus, tidak berubah daripada tinjauan pada bulan Mac.

Kadar pengangguran dijangka 2.4 peratus pada hujung tahun, juga tidak berubah berbanding tinjauan lebih awal.

Bagi tahun 2018, ramalan median bagi pertumbuhan GDP adalah 2.5 peratus, manakala inflasi dijangka mencecah 1.4 peratus dan inflasi teras pada 1.7 peratus.

Tinjauan MAS bagi Peramal Profesional dilakukan setiap tiga bulan setelah data ekonomi terperinci bagi tiga bulan sebelum itu dikeluarkan. Ramalan median dalam laporan terbaru adalah berdasarkan ramalan 21 ahli ekonomi, menurut MAS.

Sumber : CNA/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan