Images
  • singapore skyline
    Latar langit kawasan perniagaan di Singapura. (Foto: AFP/ROSLAN RAHMAN)

Dana baru $1 bilion bantu perusahaan kembangkan IP

SINGAPURA: Dana baru $1 bilion diperuntukkan untuk membantu syarikat-syarikat perusahaan memasarkan hak milik intelektual mereka.

Demikian diumumkan Pejabat Hak Milik Intelektual Singapura (IPOS) hari ini (26 Apr), sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Hab IP yang sudah dikemas kini.

Dibiayai oleh firma pelaburan ekuiti privet tempatan, Makara Capital, Dana Inovasi Makara (MIF) itu akan memanfaatkan 10 hingga 15 syarikat kecil dan sederhana di dunia, termasuk Singapura.

Firma-firma terdipilih akan menerima dana antara $30 juta dan $150 juta setiap syarikat bagi tempoh 10 tahun mendatang.

Syarikat-syarikat itu perlu memanfaatkan prasarana hak milik intelektual Singapura (IP) sewaktu proses pemasaran tersebut.

"Dana Inovasi Makara mahu bekerjasama dengan perusahaan-perusahaan inovatif, menyediakan modal dan akses pasaran bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat global," kata CEO Makara Capital Ali Ijaz Ahmad.

Untuk layak menerima dana tersebut, firma-firma mesti memenuhi beberapa kriteria, termasuk memiliki IP yang terbukti dan boleh dipertahankan, produk yang unik serta bakat pengurusan yang mantap.

IPOS turut menandatangani perjanjian dengan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) untuk melatih anggotanya dalam hak milik intelektual.

Cabang perusahaan IPOS, IP ValueLab, juga akan bekerjasama dengan firma perunding pengurusan IP antarabangsa EverEdge Global untuk menyediakan bantuan mengenai strategi IP yang intensif dan disesuaikan bagi syarikat-syarikat tempatan.

Sebahagian daripada kerjasama itu akan memperkenalkan portal perniagaan layan diri, di mana syarikat-syarikat boleh mendapat akses kepada tempat simpanan panduan IP dan kit-kit diagnostik.

"IP adalah kunci pertumbuhan masa hadapan dan pemacu ekonomi yang dirangsang oleh daya inovasi," kata Ketua Eksekutif IPOS Daren Tang, yang sebelum ini menegaskan hak milik intelektual yang dipasarkan boleh menjana pertumbuhan ekonomi Singapura pada masa akan datang.

"Kami sudah membangunkan kepakaran dan rangkaian IP yang mendalam selama bertahun-tahun dan kini kami sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan ekosistem inovasi yang dapat membantu perusahaan tempatan dan asing mengubah idea-idea mereka kepada aset dan menjadikan Singapura sebagai batu loncatan untuk ke peringkat antarabangsa.

Jawatankuasa Ekonomi Masa Hadapan (CFE)
Singapura pada bulan Februari tahun ini menyatakan negara ini perlu memperkukuh ekosistem inovasi dan membangunkan keupayaan untuk membantu perusahaan-perusahaan berinovasi dan berkembang maju. 

- CNA/nk

Komen Anda?

Top