Images

Bilangan penumpang di Lapangan Terbang Changi naik 8.2% pada Jan

SINGAPURA: Lebih ramai penumpang melalui gerbang-gerbang Lapangan Terbang Changi pada Januari tahun ini. Lebih banyak pergerakan pesawat juga direkodkan, menurut Changi Airport Group (CAG) hari ini (23 Feb).

Lapangan terbang itu mengendalikan 5.26 juta penumpang bulan lalu, peningkatan 8.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut CAG. Ia dirangsang oleh permintaan bagi penerbangan ulang-alik di Asia Tenggara, Asia Timur Laut dan Asia Selatan.

Di kalangan 10 pasaran negara utamanya, China berada di hadapan dengan pertumbuhan kukuh 13 peratus, dan ini sejajar dengan musim cuti Tahun Baru Cina pada akhir bulan lalu.

India (+14 peratus), Indonesia (+14 peratus) dan Malaysia (+12 peratus) juga mencatat pertumbuhan dua angka, menurutnya.

Terdapat juga 31,600 pendaratan dan keberangkatan pesawat, sementara penghantaran kargo stabil pada 158,690 tan berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut kenyataan medianya.

Sehingga 1 Januari tahun ini, lebih 100 syarikat penerbangan beroperasi di Lapangan Terbang Changi, menghubungkan Singapura dengan 380 bandar di sekitar 90 negara dan wilayah di seluruh dunia, menurut CAG.

- CNA/nd

Komen Anda?

Top
>