Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Alibaba akan tubuhkan hab logistik di zon perdagangan bebas digital M'sia

Alibaba Group dari China akan mengubah kawasan seluas 45 hektar di KLIA Aeropolis kepada hab eFulfillment, iaitu hab e-dagang dan logistik bagi membantu pelepasan import dan eksport dengan lebih cepat.

Anggaran Waktu Membaca:
Alibaba akan tubuhkan hab logistik di zon perdagangan bebas digital M'sia

Perdana Menteri Najib Razak bersama pengasas Alibaba Group, Jack Ma di Kuala Lumpur pada 22 Mac 2017. (Gambar: AFP/Mohd Rasfan)

Diterbitkan : 23 Mar 2017 01:00AM Dikemas Kini : 23 Mar 2017 01:04AM

KUALA LUMPUR: Alibaba Group dari China akan mengubah kawasan seluas 45 hektar di KLIA Aeropolis kepada hab eFulfillment, iaitu hab e-dagang dan logistik bagi membantu pelepasan import dan eksport dengan lebih cepat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penubuhan hab itu, yang seiring dengan pelan induk transformasi Malaysia kepada ekonomi digital, akan menjadi yang pertama di dunia di luar China.

"Hangzhou adalah hab untuk China dan Aeropolis adalah untuk Malaysia serta Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara. Kami akan jadikan (hab) ini menarik dan besar," katanya pada pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital (DGTZ) hari ini (22 Mac).

Hab eFulfillment adalah sebahagian daripada inisiatif DGTZ Malaysia.

Pada sidang akhbar kemudiannya, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood berkata, zon fizikal itu akan ditempatkan di tapak seluas lapan hektar di Aeropolis, yang sebelum ini adalah terminal syarikat penerbangan tambang murah.

Mengikut memorandum persefahaman yang dimeterai hari ini di antara Malaysia Airports Holdings Bhd dan syarikat sekutu logistik Alibaba, Cainiao Network, syarikat perdagangan runcit gergasi itu juga akan mengkaji kemungkinan memperluaskannya ke tapak bersebelahan seluas 37 hektar, katanya.

Menurutnya, fasa pertama hab eFulfillment akan dilancarkan sebelum akhir tahun.

Mengenai unjuran perbelanjaan, Ketua Pegawai Eksekutif Alibaba, Daniel Zhang, berkata tidak ada jumlah khusus setakat ini berikutan hab itu direka bentuk untuk komitmen jangka panjang.

"Kami akan mempunyai pelaburan tidak ketara di hab tersebut dan aset tidak ketara lain seperti pengetahuan, pengalaman dan teknologi. Ia akan memanfatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia," katanya.

Encik Zhang berkata, persamaan visi Malaysia dengan Alibaba dari segi pendigitalan serta kedudukannya yang strategik, adalah sebab negara ini dipilih sebagai hab serantaunya.

DFTZ adalah satu inisiatif bagi penggabungan dan pertumbuhan pesat ekonomi Internet serta aktiviti e-dagang rentas sempadan. Ia mengandungi tiga komponen utama yang menggabungkan zon fizikal dan maya.

Zon fizikal terdiri daripada hab eFulfillment dan hab perkhidmatan satelit manakala zon maya pula mengandungi platform e-perkhidmatan.

Sebelum ini PM Najib berkata, kemudahan hab perkhidmatan satelit bebas akan ditempatkan di Bandar Malaysia.

"Malaysia akan menawarkan kawasan seluas 500,000 kaki persegi di Bandar Malaysia untuk PKS, usahawan dan syarikat untuk mendirikan perniagaan mereka di sana.

"Mereka akan ditempatkan di bawah satu bumbung di Bandar Malaysia," katanya.

Sumber : Bernama/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan