Images
  • cbd
    Orang ramai menyeberang jalan di kawasan pusat bandar Singapura. (Gambar fail: Ngau Kai Yan)

85,000 majikan akan dapat S$660 juta bayaran Kredit Pekerjaan bulan ini

SINGAPURA: Lebih 85,000 majikan di Singapura akan menerima bayaran-bayaran Skim Kredit Pekerjaan (WCS) bernilai S$660 juta menjelang 31 Mac.

Demikian menurut kenyataan bersama oleh Kementerian Kewangan dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) hari ini (17 Mac).

Bayaran-bayaran WCS itu membiayai secara bersama 20 peratus pada kenaikan gaji yang diberikan pada 2015 dan 2016 kepada lebih 600,000 kakitangan warga Singapura yang layak menerimanya iaitu yang meraih gaji kasar bulanan S$4,000 dan lebih rendah daripada itu, katanya.

Menurut pihak berkuasa, syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) akan menerima sekitar 70 peratus jumlah yang diagihkan itu. Bayaran itu akan dimasukkan secara langsung ke dalam akaun bank GIRO para majikan yang digunakan untuk tujuan cukai pendapatan dan GST, atau diagihkan dalam bentuk cek kepada para majikan.

Para majikan yang layak akan menerima surat-surat daripada IRAS menjelang 31 Mac yang memaklumkan mereka tentang jumlah bayaran WCS yang akan diterima mereka.

Rayuan-rayuan tentang bayaran WCS itu mesti diserahkan kepada IRAS menjelang 30 Jun untuk diambil kira berdasarkan kes, menurut kenyataan media tersebut.

Para majikan yang ingin melayakkan diri untuk mendapatkan kelompok terakhir bayaran-bayaran WCS pada 2018, harus membayar kenaikan gaji yang disyaratkan kepada para kakitangan warga Singapura pada 2017, atau mengekalkan kenaikan gaji yang disyaratkan dan diberikan pada 2015 dan/atau 2016, menurut pihak berkuasa.

WCS diperkenalkan pada 2013 sebagai sebahagian daripada Pakej Sokongan Peralihan.

Ia bertujuan membantu perniagaan-perniagaan mengharungi kos gaji yang kian meningkat supaya mereka dapat melabur dalam daya penghasilan dan mengongsi hasil untung penghasilan dengan para kakitangan mereka. 

- CNA/nd

Komen Anda?

Top