Images
  • 3 ibu
    Dari kiri: Pengasas Wild Earth Cik Faeza Abdurazak, Pengasas Kidz Paradize Cik Aneesa Mahamud dan Pengasas Bottle Of Wellness Cik Nur Wahidah Abdul Wahab.

3 ibu muda kesan potensi produk organik, tawarkan pilihan kesejahteraan & kecantikan

BERITAMediacorp: Dari keperluan dan masalah peribadi, menjadi peniaga produk organik. Itulah yang menjadi persamaan tiga wanita Melayu/Islam Singapura ini.

Ini berlaku sedang kian ramai yang memilih mengamalkan gaya hidup semula jadi, termasuk dalam pemilihan ubat-ubatan atau produk kecantikan. Oleh itu tidak hairanlah apabila produk-produk yang disifatkan sebagai organik, tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Dalam lapoan ini, BERITAMediacorp menampilkan tiga wanita tersebut - Faeza Abdurazak, Aneesa Mahamud dan Nur Wahidah - yang mengusahakan produk-produk organik yang turut menarik minat ramai orang sehingga ada yang produk mereka bukan sahaja menjadi buruan penduduk tempatan, malah di luar negara. Yang pasti, trend gaya hidup semula jadi sekarang membantu perniagaan mereka.

FAEZA ABDURAZAK - MINYAK BOTANI 100% ASLI

Sejak masalah kulit kering pada bahagian wajahnya pulih setelah dirawat menggunakan minyak zaitun ketika berada di Oman bagi satu lawatan pembelajaran sekitar tahun 2001, Cik Faeza Abdurazak tidak pernah berpatah balik.


Cik Faeza Abdurazak bersama anak-anak. (Gambar: Faeza Abdurazak)

Malah, sejak itu penggunaan minyak botani atau 'botanical oil' sebagai rutin kecantikan atau rawatan bagi masalah kulit menjadi sebahagian daripada hidupnya. Pengasas produk-produk minyak semula jadi, Wild Earth, itu juga mula mencari minyak botani selain minyak zaitun yang boleh digunakan pada kulitnya sendiri.

“Saya mahu mencuba minyak Argan, namun saya jumpa yang agak cair. Maka, seorang rakan saya membantu saya mencari ladang minyak Argan. Saya pun pun menempah sebanyak satu liter untuk kegunaan diri saya sendiri.

“Dari situ saya menyedari tekstur minyaknya benar-benar asli. Dengan jumlah minyak yang sebanyak itu tercetus idea untuk menjual minyak Argan tersebut,” kata Cik Faeza, 34 tahun.

MASYARAKAT TAHU, PEKA TENTANG KEBAIKAN PRODUK ORGANIK

Pada tahun 2014, Cik Faeza mula menempah lebih banyak minyak Argan dari ladang di Maghribi dan kelapa dara dari Malaysia. Menurut Cik Faeza, produk-produk minyak botani yang dijualnya dijamin 100 peratus asli dan tidak menggunakan teknik pemanasan.

“Lazimnya untuk kecantikan, anda pasti mahukan semua khasiat, vitamin, anti-oksidan dan mineral dalam minyak yang digunakan. Teknik pemanasan boleh mengurangkan atau menghapuskan khasiat tersebut. Oleh kerana itu, minyak-minyak botani Wild Earth tidak menggunakan teknik pemanasan,” kongsi Cik Faeza kepada BERITAMediacorp.


Sejak memulakan Wild Earth pada 2015, sambutan yang diterima Cik Faeza di luar jangkaan. Tempahan yang diterima baik dari dalam dan di luar negara membuatkan Cik Faeza menyedari bahawa masyarakat benar-benar tahu tentang kebaikan produk organik.

Kini, Wild Earth bukan sahaja menawarkan sebanyak tujuh pilihan minyak botani asli untuk para pelanggan, ia turut mengeluarkan sabun buku organik – tiga jenis tetap dan beberapa jenis yang mengikut musim.

“Dengan kemajuan sains dan teknologi, pengetahuan sangat luas, maklumat di hujung jari. Maka sebab itu keinginan untuk kembali kepada asas berlaku secara semula jadi. Maklumat yang diperolehi mendedahkan terdapat kesan-kesan sampingan pada ubat-ubatan moden dan sebagainya. Oleh itu ramai yang mencari alternatif,” ujar Cik Faeza, ibu dua orang anak.

ANEESA MAHAMUD - HASILKAN PRODUK DARI DAPUR SENDIRI

Bagi Pengasas Kidz Paradize, Cik Aneesa Mahamud, yang menjual produk-produk sapuan atau ‘rubs’ yang dibuat sendiri dengan menggunakan bahan-bahan organik, termasuk minyak pati atau 'essential oil', trend memilih barangan organik sedikit sebanyak membantu perniagaan beliau.

“Meskipun banyak penjual-penjual barangan organik di luar sana. Saya masih dapat menjual produk saya. Pelanggan ada pilihan; produk yang mana yang diinginkan. Trend ini membantu perniagaan saya juga,” kata Cik Aneesa, 37 tahun.


Pengasas Kidz Paradize, Aneesa Mahamud, bersama keluarga. (Gambar: Aneesa Mahmud)

Beliau yang membuat sendiri produk sapuan bagi kesejahteraan tubuh badan dan melegakan sakit-sakit ringan dari dapur rumahnya berkata ia dibeli bukan saja oleh pelanggan tempatan, tetapi ada juga yang dari Indonesia, Australia, Yaman dan juga Qatar.

Potensi niaga bagi produk-produk sedemikian dikesan pada tahun 2015, setelah Cik Aneesa didiagnosis dengan sakit migrain teruk sehingga terpaksa dirujuk ke hospital dan diberitahu beliau mengalami angin ahmar ringan.

“Doktor ada memberikan ubat tetapi ia tidak berkesan dan kesan sampingannya begitu dahsyat. Kemudian seorang rakan menyarankan saya menggunakan minyak pati. Setelah membeli dan mencuba beberapa minyak pati, hanya satu yang membantu saya.

“Maka saya mencari di lelaman internet untuk mendapatkan idea tentang apa yang saya boleh lakukan dengan semua minyak pati yang ada dan mendapati ramai ibu-ibu di Amerika Syarikat yang berkongsi idea DIY dan saya pun mencuba membuat sendiri minyak sapuan,” kongsi Cik Aneesa, ibu empat orang anak.

MULA BERNIAGA DENGAN $1,000

Ternyata, produk organik itu berjaya menarik minat orang ramai, dengan sekitar 50 tempahan diterima Cik Aneesa sebaik saja memuat naik minyak sapuan ‘vapour rub’ yang dihasilkannya ke media sosial.

Sejak itu, Cik Aneesa mengambil masa tiga bulan untuk melakukan lebih banyak kajian dan ujian ke atas produk yang dihasilkan dan terus memperbaiki mutu menerusi maklum balas yang diterima daripada pelanggan yang antaranya rakan-rakan beliau sendiri.


Apabila ditanya tentang pulangan perniagaan beliau yang dimulakan dengan wang $1,000, Cik Aneesa berkata: “Alhamdulillah saya berpuas hati dengan jumlah yang diperolehi. Saya simpan duit hasil jualan saya dan Alhamdulillah dengan wang itu, saya mampu membeli setiap barang dalam rumah tanpa berhutang. Semuanya dibayar tunai.”

Sekarang, Kidz Paradize sudahpun mempunyai rangkaian produk yang termasuk lima minyak sapuan yang dijual pada harga $18 sebotol dan 3 ‘rollers’ yang harganya antara $12 dengan $28, selain syampu, minyak rambut, sabun dan minyak wangi organik.

NUR WAHIDAH - BERHENTI KERJA SETELAH KESAN POTENSI PRODUK

Seorang lagi ibu muda yang memilih untuk menggunakan dan menjual produk-produk kesejahteraan organik ialah Cik Nur Wahidah Abdul Wahab, Pengasas Bottle Of Wellness.

Meskipun perniagaan beliau baru saja dimulakan pada tahun lalu, kata Cik Nur Wahidah, beliau sudahpun menggunakan minyak sapuan yang dibuat sendiri di rumah untuk anak lelakinya.

“Saya tidak bermula dengan Bottle of Wellness. Saya cuma bertanya kepada para ibu (di media sosial), sekiranya saya ada sesuatu untuk dikongsi, adakah mereka mahu mencuba. Respons yang diterima begitu menggalakkan. Semua kawan-kawan saya juga cuba.


Kebanyakan yang ada anak juga berminat disebabkan bahan-bahan produk yang semula jadi dan dibuat sendiri di rumah,” Cik Nur Wahidah memberitahu BERITAMediacorp.

Setelah mengesan potensi produk yang dihasilkannya, Cik Nur Wahidah memutuskan untuk berhenti kerja dan menumpukan perhatian kepada perniagaan.

BERKESAN KE ATAS ANAK SENDIRI, MAHU BANTU IBU LAIN

Menurut beliau, bahan-bahan yang digunakan adalah beberapa jenis minyak, termasuk minyak pati serta bahan-bahan semula jadi dari luar negara.

“Semasa kami mula menjual minyak sapuan itu kami mahu memastikan ia berkesan ke atas kanak-kanak lain sepertimana ia berkesan ke atas anak saya. Jadi saya berikan produk kepada sepupu-sepupu saya yang ada bayi dan Alhamdulillah ia berkesan untuk mereka.

“Saya rasa berbesar hati dapat membantu para ibu dan bayi yang mencari produk organik. Sekarang terdapat macam-macam penyakit dan saya rasa mengapa tidak saya membantu ibu-ibu lain,” kata ibu dua anak itu.


Pengasas Bottle of Wellness, Nur Wahidah, bersama suami dan anak. (Gambar: Nur Wahidah Abdul Wahab)

Produk-produk yang dihasilkan Cik Nur Wahidah sesuai untuk digunakan oleh seisi keluarga, bermula dari bayi yang baru dilahirkan memandangkan “sukar untuk mendapatkan ubat (organik) untuk kanak-kanak, khususnya bayi”.

Mengulas tentang trend gaya hidup semula jadi, Cik Nur Wahidah berkata beliau tidak begitu memikirkannya semasa memulakan perniagaan. Namun beliau akui, ia membantu.

“Respons daripada para pelanggan membuatkan saya sedar bahawa mereka memilih gaya hidup semula jadi dan saya menimbangkan maklum balas mereka untuk mempertingkat perniagaan saya,” kata Cik Nur Wahidah, 29 tahun.

Sejauh ini, Bottle Of Wellness menawarkan sebanyak sembilan produk, termasuk tiga minyak sapuan, pek dengan lima ‘roll-on’ yang mudah dibawa ke mana-mana dan satu minyak urut dan dijual bermula pada harga $12. 

- BERITAMediacorp/nk

Komen Anda?

Top