Images
  • UOB Plaza
    Bangunan UOB Plaza One di CBD. (Gambar: Ngau Kai Yan)

3,000 kerja bakal ditawarkan dalam sektor khidmat kewangan

SINGAPURA: Meskipun menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding sektor-sektor lain dalam keadaan ekonomi yang lembap sekarang, sektor khidmat kewangan di Singapura meletakkan penanda aras baru yang lebih mencabar.

Ia adalah untuk mencatat daya penghasilan yang lebih baik, pertumbuhan yang lebih tinggi berbanding ekonomi keseluruhan dan mewujudkan ribuan pekerjaan setiap tahun sehingga 2020.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengumumkan demikian dengan pelancaran Rancangan Perubahan Industri (ITM) bagi sektor tersebut hari ini (30 Okt).

ITM itu menggariskan strategi-strategi bagi sektor tersebut, termasuk fokus menyokong pembangunan Asia, memperkenalkan program-program untuk menajamkan kemahiran dan memanfaatkan kemajuan teknologi dalam sektor.

ITM itu adalah sebahagian daripada pelan bernilai $4.5 bilion Pemerintah yang diumumkan semasa Belanjawan tahun lalu untuk merubah ekonomi Singapura.

Memberikan perinciannya, anggota lembaga MAS Encik Ong Ye Kung berkata ITM dijangka mencatat pertumbuhan GDP 4.3 peratus setiap tahun dalam jangka pertengahan ini, "hampir seganda" pesatnya berbanding eseluruhan ekonomi, kata beliau.

Encik Ong, yang juga Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran), berkata lebih separuh atau 2.4 peratus pertumbuhan dipacu oleh daya penghasilan.

"Ini adalah pelan strategik bagi masa depan sektor dan adalah hasil daripada pertimbangan selama berbulan-bulan antara industri dengan MAS," kata Encik Ong.

"Khidmat kewangan adalah penyumbang penting kepada ekonomi Singapura, menyumbang sekitar 12 peratus GDP dan menyediakan pekerjaan buat sekitar 154,000 orang."

Encik Ong berkata ITM juga menyasarkan untuk mewujudkan 3,000 pekerjaan dalam sektor khidmat kewangan seperti di bank dan syarikat pengurusan dana serta tambahan 1,000 pekerjaan dalam sektor teknologi kewangan setiap tahun sehingga tahun 2020.

Beliau menambah MAS mempunyai visi untuk menjadikan Singapura sebuah pusat utama kewangan global di Asia dan yang menghubungkan pasaran-pasaran global, menyokong pembangunan Asia di samping menyumbang kepada ekonomi negara.

- CNA/NK/nk

Komen Anda?

Top